JOHOR BAHRU: Lebih 200 komuniti penjaja dan peniaga kecil di Parlimen Pulai, mengharapkan bakal wakil rakyat yang dipilih nanti, mampu membela nasib mereka terutama berkaitan penyediaan infrastruktur tempat perniagaan yang lebih kondusif.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru Abdullah Md Yusof, berkata ini kerana terdapat beberapa premis perniagaan yang telah usang termasuk meja dan kerusi makan, selain kemudahan seperti kipas dan lampu yang tidak berfungsi, menyebabkan pelanggan sering merungut tidak selesa.

Abdullah berkata antara kawasan yang berkenaan seperti Gerai Penjaja Batu 5 dan gerai di sekitar Jalan Skudai Batu 4 1/2, Kampung Usaha Jaya di sini, yang terletak di bawah selenggaraan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

“Perkara tersebut seharusnya diberi keutamaan, mana-mana kemudahan yang rosak seharusnya dibaiki atau dinaik taraf dengan segera, kerana ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada penjaja dan peniaga kecil yang kebanyakannya berpendapatan rendah, tetapi juga kepada pelanggan.

“Apabila ada kemudahan infrastruktur yang selesa ini, ia akan dapat menarik lebih ramai pelanggan dan secara lansung juga dapat membantu memacu ekonomi golongan tersebut, yang sebelum ini teruk terjejas disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga pisang goreng di Taman Dahlia di sini, Azizah Saadon berkata kemudahan infrastruktur yang selesa, akan menarik lebih ramai pelanggan bukan sahaja penduduk tempatan, malah pelanggan dari Singapura, sekali gus dapat memberikan lebih banyak pendapatan kepada mereka.

“Peniaga seperti kami kini dalam fasa kembali bangkit, selepas terpaksa berhenti berniaga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi apabila ada persekitaran gerai yang selesa dan menarik, ia akan menarik lebih ramai pelanggan untuk singgah untuk makan atau membeli makanan,” katanya.

Seorang lagi peniaga kecil di Tampoi di sini, Muhamad Zulfikar Kamarudin, 28, berkata peniaga kecil sepertinya, sememangnya mengharapkan perhatian dan pembelaan daripada wakil rakyat demi kelangsungan hidup.

“Kita sebagai peniaga sudah tentu mahukan saliran dan perparitan yang lebih baik berharap terutama di kawasan kami meniaga, sebab ada di antaranya yang tersumbat menyebabkan menimbulkan bau busuk sehingga pelanggan pun tidak selesa.

“Lebih teruk lagi apabila hujan lebat, banjir kilat berlaku menyebabkan kami tidak dapat berniaga. Jika saya jadi pelanggan, saya sendiri akan pergi membeli di lokasi yang bersih dan tiada bau busuk,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dilaksanakan, susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh undi awal pada 5 Sept, manakala hari pengundian pada 9 Sept. -Bernama