ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah Lumba Haram di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal di sini pada awal 1 Syawal, semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata mangsa Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selain patah kaki dan paha dalam kejadian 2.56 pagi itu.

“Polis Melaka mengesan sebuah video berdurasi 40 saat tular di media sosial memaparkan kejadian kemalangan itu melibatkan kenderaan pacuan empat roda polis dengan sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Sebelum kejadian, kenderaan polis yang dipandu anggota berusia 37 tahun dari Balai Polis Durian Tunggal telah ke lokasi terlibat susulan aduan awam berkaitan bunyi bising dan terdapat aktiviti lumba haram di kawasan itu sebelum menyalakan lampu mata arah serta bunyi siren bagi memberi amaran kepada kumpulan motosikal terbabit,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata menyedari kehadiran polis ke kawasan itu, penunggang motosikal yang sedang berkumpul di tepi jalan bertindak melarikan diri.

Katanya ketika kenderaan polis terlibat sedang membelok ke arah kanan jalan, mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan bertindak merempuh kenderaan pacuan empat roda itu.

Zainol berkata mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Melaka sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad unit rawatan rapi hospital itu pada 12.37 tengah malam tadi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Menurutnya, polis Melaka memastikan siasatan kes terbabit dijalankan secara telus serta profesional dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan lanjut.