IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan bagi kawasan pelancongan berasaskan batu kapur di negeri itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee (gambar).

Beliau berkata kerajaan negeri sudah menubuhkan satu jawatankuasa sebelum ini bagi menjalankan kajian berhubung SOP keselamatan di kawasan batu kapur namun tumpuan lebih kepada tempat beribadat dan penyembahan.

“Kalau lihat di Perak atau Ipoh sendiri, kawasan kaki bukit dibangunkan tempat pelancongan, kafe dan sebagainya. Jadi kita melihat perlu ada satu polisi untuk memastikan keselamatan pengusaha dan pengunjung bagi menjaga keselamatan semua orang,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di sini hari ini.

Semalam, seorang pelancong warga tempatan berusia 44 tahun maut akibat ditimpa bongkah batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi.

Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor dilaporkan sedang membawa rakannya warga Vietnam ke tempat pelancongan tersebut.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi berkata kawasan pelancongan berkenaan ditutup sementara sehingga laporan penuh berhubung insiden itu disiapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.