KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2024 tidak kesampaian apabila disekat pasangan ke-11 dunia Rena Miyaura- Ayako Sakuramoto dari Jepun, hari ini.

Pada pertembungan suku akhir di Utilita Arena, Brimingham, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking dunia ke-15 itu bermula garang apabila menumpaskan Rena-Ayako 21-11 pada set pertama.

Mereka bagaimanapun terpaksa menerima kehebatan juara Terbuka Switzerland 2023 itu apabila ditundukkan 18-21, 18-21 pada dua set seterusnya.

Ini merupakan kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada pasangan berkenaan selepas Masters Jepun 2023.

Pearly-Thinaah bagaimanapun boleh berbangga pada edisi kali ini apabila dapat mengejutkan pasangan nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 22-20, 21-16 pada pusingan kedua semalam selepas tewas dalam lima pertemuan terakhir.

Rena-Ayako seterusnya akan melakukan perhitungan bersama rakan senegara, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang juga pilihan keenam kejohanan pada perlawanan separuh akhir esok.

Dua lagi wakil negara membabitkan perseorangan profesional lelaki Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan beraksi pada awal pagi ini. -Bernama