SEREMBAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima 23,665 permohonan faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi tempoh Januari hingga 17 Julai lepas, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Beliau berkata daripada jumlah itu 17,432 permohonan diluluskan, dengan RM91.55 juta bayaran faedah SIP, yang antara lain melibatkan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula ditukarkan kepada Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA).

“SIP ini bagi menjaga kebajikan pekerja sebelum pemberhentian pekerja berlaku, menerusi intervensi ini pendapatan mereka akan berterusan.

“Skim ini penting, ramai tidak mengetahui mengenainya, peranan PERKESO luas, ia tidak fokus kepada skim bantuan pekerja yang ditimpa kemalangan sahaja. Kalau pekerja mencarum dalam SIP, pelbagai jenis bantuan dapat dimanfaatkan,“ katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menyampaikan EMP kepada 30 bekas operator kilang bagi dua syarikat di Negeri Sembilan yang terpaksa menamatkan perkhidmatan akibat isu pengeluaran produk getah dan pembekalan komponen elektronik yang berkurangan sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Sivakumar berkata Perkeso memberikan faedah EMP berjumlah RM1.37 juta kepada 526 pekerja di negeri ini yang hilang mata pencarian berikutan masalah ekonomi syarikat.

Katanya faedah itu disalurkan bagi tempoh tiga hingga enam bulan berturut-turut sekiranya mereka diberhentikan akibat masalah ekonomi syarikat.

“Kadar permulaan elaun adalah 80 peratus purata gaji selama enam bulan, tertakluk kepada had gaji siling RM5,000. Kemudian kadar bulanan berikutnya akan menurun secara berperingkat,“ katanya.

Beliau berkata bantuan perlindungan sosial ini adalah sebahagian daripada manfaat utama di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), bertujuan meringankan bebanan mereka dari segi kewangan sementara dalam proses mencari pekerjaan baharu. -Bernama