GEORGE TOWN: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Penang menawarkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke Bukit Bendera sempena Aidilfitri, bermula 10 hingga 14 April.

PBBPP dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan itu akan beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam.

“Kerjasama itu mendapat sokongan kerajaan negeri berikutan kejayaan beberapa siri program pada tahun lepas, PBBPP berbesar hati memanjangkan perkhidmatan berkenaan kepada pengunjung Bukit Bendera sempena Aidilfitri tahun ini.

“Objektif utama inisiatif itu adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar dan menggalakkan inisiatif hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon di kawasan Air Itam,“ menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut PBBPP kekerapan perkhidmatan itu ialah lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah untuk setiap satu jam dan 30 minit serta bas turut direka mesra kerusi roda.

Perkhidmatan itu disediakan di hentian bas di Jalan Ria untuk perjalanan ke stesen bawah Bukit Bendera dan sebaliknya manakala jadual perkhidmatan boleh didapati di laman sesawang rasmi PBBPP serta platform media sosial.

Orang ramai boleh mengenal pasti bas-bas ini menerusi papan tanda “Penang Hill Free Shuttle Service” di paparan skrin di Stesen 9 di Komtar yang terletak di hentian bas Jalan Ria iaitu di laluan dekat dengan Kiosk Rapid Penang dan hentian bas di stesen bawah Bukit Bendera.

“Jika bas ulang-alik berkenaan mencapai kapasiti maksimum, pengunjung digalakkan untuk menaiki bas Rapid sedia ada bernombor 204 pada kadar biasa ke Bukit Bendera,“ menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengunjung juga boleh menggunakan GrabCar dengan kod promosi ”GRAB2PGHILL” yang bernilai RM5 setiap satu dan maksimum dua penebusan dibenarkan bagi setiap pengguna.

PBBPP menjangkakan peningkatan pengunjung semasa cuti Aidilfitri dan perkhidmatan ulang-alik percuma ke Bukit Bendera itu turut bertujuan untuk menangani masalah tempat letak kereta yang terhad.

“Perkhidmatan bas berkenaan juga bertujuan untuk menambah baik pengalaman pengunjung sekali gus mengurangkan masa perjalanan serta memastikan perjalanan yang lancar,“ menurut kenyataan itu. -Bernama