SHAH ALAM: Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) bertujuan mendidik pelajar sekolah dalam memahami dan menghayati kelima-lima prinsip utama itu untuk melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta pada negara.

Pengarah JaPen Selangor Normaizatul Akmal Tujad berkata pertandingan berkenaan turut menjadi platform pihaknya menyemai dan mengukuhkan semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan serta Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Katanya Rukun Negara menjadi tema utama sketsa itu dalam usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar sama ada sebagai pelakon dan penonton dalam mendalami falsafah yang menjadi tiang seri kepada kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau berkata pertandingan itu antara program menyemarakkan kalendar sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 dengan lebih 30 video penyertaan dihantar untuk proses saringan awal bermula Mac lepas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor.

“Pertandingan ini adalah berasaskan kepada persembahan peserta secara berkumpulan yang terdiri daripada empat ke lima orang ahli dan dibantu oleh petugas teknikal kumpulan.

“Sebanyak enam video daripada enam sekolah menengah terpilih berjaya ke peringkat akhir pada hari ini dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, Sabak Bernam yang membawa sketsa bertajuk ‘Putik Pertiwi’ menjadi johan pertandingan ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat pertandingan sketsa itu di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, di sini hari ini.

Normaizatul Akmal berkata SMK Sungai Besar membawa pulang hadiah kemenangan iaitu wang tunai RM2,000, medal dan sijil penyertaan serta mereka akan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan.

Naib johan dimenangi SMK Tinggi Klang dengan sketsa bertajuk “Kisah Atok” dan menerima hadiah wang tunai RM1,500 manakala SMK Seri Keramat, Gombak dengan sketsa bertajuk “Wira Perpaduan Semat Production” menduduki tempat ketiga dengan hadiah bernilai RM1,000. -Bernama