KOTA BHARU: Sempena ulang tahun ke-50 Petronas, impian seorang remaja perempuan Siti Zubaidah Zulkefli (gambar), 17, dari Kampung Air Papan, Batu Melintang di Jeli, yang menderita akibat kanser tulang tahap dua untuk melawat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), akhirnya tercapai hari ini.

Siti Zubaidah berkata dia mula dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia 15 tahun dan perlu berulang-alik dari rumahnya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk menerima rawatan susulan.

“Saya sekarang ini tinggal bersama bapa saudara dan ibu saudara serta anaknya, selepas ibu saya Masitoh Mahmood meninggal dunia ketika saya berusia lima bulan.

“Malah, tahun lepas saya tidak dapat pergi ke sekolah kerana perlu menjalani rawatan seperti kimoterapi sehingga menyebabkan banyak mata pelajaran tertinggal,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Terdahulu, Siti Zubaidah diraikan dalam satu majlis ringkas oleh wakil Petronas menerusi Petronas 50 Dreams, dalam memenuhi hasratnya melawat KLCC kerana tertarik lokasi berkenaan.

Pada lawatan yang dijangka bermula esok, Siti Zubaidah akan menginap satu malam di hotel lima bintang sebelum dibawa ke SURIA KLCC, Aquaria dan dek pemerhatian tingkat 86 KLCC.

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur M Ahmad Shazly Ramli berkata sumbangan dan impian yang direalisasikan pihaknya itu, sedikit sebanyak diharapkan dapat menceria dan mengurangkan beban yang ditanggung Siti Zubaidah sekeluarga.

“Kita turut menyediakan pengangkutan selama dua tahun kepada Siti Zubaidah, bagi urusan rawatan dari rumahnya ke HUSM Kubang Kerian.

“Selain itu, kita juga hadiahkan sebuah telefon pintar seperti yang diinginkannya, bagi merakamkan gambar kenangan sepanjang lawatan ke KLCC nanti,” katanya.