KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky (gambar) memberi bayangan pasangan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M.Thinaah mungkin tidak diturunkan pada Piala Uber 2024 di Chengdu, China

Memandangkan skuad negara dijadualkan berdepan laluan berliku pada pertandingan itu, Rexy berkata barisan kejurulatihan merasakan bahawa lebih wajar sekiranya Pearly-Thinaah diketepikan bagi membolehkan mereka menumpukan pada persiapan ke Sukan Olimpik di Paris.

“Secara realistiknya sekiranya Pearly-Thinaah beraksi di Piala Uber mereka ada peluang menang satu perlawanan, namun nanti kesudahannya jadi 1-4 (tewas). Kita bukan mahu memperkecilkan peluang skuad Piala Uber namun itulah realitinya.

“Bagaimanapun, ini bukan keputusan akhir kerana kami akan bincang dan dengar pandangan daripada pihak pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Skuad wanita negara yang merupakan pilihan ke-10 Piala Uber bakal mengharungi misi mencabar dalam Kumpulan B bersama pilihan keempat Thailand, Taiwan (pilihan keenam) dan Australia.

Ditanya pasangan mana yang bakal mengisi tempat pasangan ke-13 dunia berkenaan, pakar beregu dari Indonesia itu berkata antara gandingan yang dipertimbangkan ialah Go Pei Kee-Low Yeen Yuan serta pemain lain seperti Tan Zhing Yi dan Teoh Mei Xing.

Dalam pada itu, Rexy memaklumkan barisan kejurulatihan akan bermesyuarat esok bagi menentukan skuad Piala Thomas dan Piala Uber negara yang bakal beraksi pada 28 April-5 Mei ini.

Skuad lelaki negara selaku pilihan kelima kejohanan badminton berprestij dunia itu diundi bersama jaguh Eropah dan juara edisi 2016, Denmark, Hong Kong (pilihan ke-12) serta Algeria. -Bernama