PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir pada Majlis MADANI Muhibbah Aidilfitri 1445H yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini.

Ketibaan Anwar pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari disambut oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu serta pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian.

Majlis yang diadakan di anjung Kementerian Komunikasi serta KPKT itu dimeriahkan dengan lebih 5,000 kehadiran yang terdiri daripada kakitangan kedua-dua kementerian berkenaan serta pelbagai pihak industri antaranya telekomunikasi dan seni tanah air.

Pelbagai jenis juadah disediakan antaranya lemang, rendang ayam, sate serta nasi himpit, dan majlis turut diserikan dengan persembahan daripada beberapa artis tempatan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hazama dan Aisha Retno.

Pada majlis berkenaan,Anwar juga menyampaikan beberapa sumbangan, antaranya menerusi Projek Bantuan Baik Pulih Rumah di bawah kendalian KPKT, sebelum beliau meninggalkan majlis pada kira-kira pukul 2.30 petang.