SINGAPURA: Singapura menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh penyerahan tampuk kepimpinan negara daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang akan melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Lawrence Wong menggantikan beliau.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata Lee,72, akan menasihatkan secara rasmi Presiden Tharman Shanmugaratnam untuk melantik Wong yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa sebagai pengganti beliau.

“Perdana Menteri baharu akan mengangkat sumpah pada pukul 8 malam 15 Mei 2024 di Istana,” kata PMO.

PMO berkata Wong mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Lee berkhidmat sebagai Perdana Menteri Ketiga republik itu sejak 2004.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAP telah memimpin parti itu dan memenangi empat Pilihan Raya Umum Singapura pada 2006, 2011, 2015 dan 2020.

Anak lelaki sulung kepada Perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew kali pertama dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) pada 1984, dan dipilih semula sebanyak lapan sekali dan terbaharu sebagai MP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Ang Mo Kio.

Pada November tahun lepas Lee mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri disandangnya.

Dalam hantarannya di Facebook pula, Lee meminta semua rakyat Singapura supaya memberikan Wong dan pasukannya sokongan penuh bagi mewujudkan sebuah masa hadapan yang cerah untuk negara ini.

“Lawrence (Wong) dan pasukan 4G telah bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan rakyat, terutamanya semasa pandemik. Menerusi usaha ‘Forward Singapore’ , mereka telah bekerja dengan ramai warga Singapura untuk memberi nafas baharu kepada kontrak sosial dan membangunkan agenda nasional untuk generasi baharu,” katanya.

Pasukan 4G merujuk kepada pasukan generasi keempat terdiri daripada pemimpin politik muda Singapura.

Lee juga menjamin pasukan 4G komited untuk memastikan Singapura berfungsi dengan baik dan bergerak ke hadapan.

“Ini akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.