JOHOR BAHRU: Polis menahan 46 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen di negeri ini semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar (gambar) berkata kesemua 39 lelaki dan tujuh wanita yang berusia antara 18 hingga 64 tahun itu ditahan di beberapa premis menerusi Op Dadu.

Beliau berkata melalui serbuan yang dilakukan serentak itu pihaknya telah merampas beberapa barangan seperti 22 pencetak pelbagai jenama, 42 telefon bimbit pelbagai jenama, 102 kertas catitan dan wang tunai berjumlah RM6,935.

“Semua tangkapan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan membantu menjalankan loteri awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu kesalahan berkaitan urusan mesin judi dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

M Kumar berkata bermula 1 Jan lepas sehingga semalam, polis Johor telah melakukan 770 serbuan melalui Op Dadu dengan 1,102 tangkapan dan rampasan wang tunai sebanyak RM291,708.