SUNGAI PETANI: Polis menahan lima suspek pelbagai kes jenayah termasuk kes curi 121 naskah akhbar harian dalam operasi pada hari Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pada pukul 12.05 tengah malam Khamis lepas polis menahan seorang suspek berumur 35 tahun selepas menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan lelaki itu melarikan surat khabar yang diletakkan di sebuah kedai di Taman Patani Jaya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini beliau berkata lelaki itu ditahan di Pengkalan Lebai Man dekat sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam Op Pintu/Kesan pada Rabu lepas pula, beliau berkata dua lelaki berumur 39 dan 41 tahun ditahan di sebuah rumah sekitar sini kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda pada 13 April lepas.

“Lelaki berusia 39 tahun itu mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dua kes dadah, manakala lelaki berusia 41 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah dan enam kes berkaitan dadah. Kedua-dua suspek turut dikesan positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,“ katanya.

Wan Azharuddin berkata dalam satu lagi serbuan pada hari yang sama polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di Kampung Permatang Keramat di Yan dipercayai anggota ‘Geng Mat Burn’, yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar Kuala Muda dan Yan.

“Suspek yang mempunyai 32 rekod jenayah lampau dan 10 rekod rekod jenayah berkaitan dadah turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine, dan polis masih mengesan ahli kumpulan yang lain,“ katanya.

Dalam satu lagi serbuan pada hari sama, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di sebuah ‘port dadah’ di Sungai Tiang di Pendang yang dipercayai terlibat dalam aktiviti samun berkumpulan.