KUALA LUMPUR: Polis memohon orang ramai membantu mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata remaja perempuan itu, Anis Zulaikha Abdul Azim (gambar) dilaporkan kali terakhir dilihat di rumahnya di Ara Greens, Ara Damansara pada 2.30 petang.

Beliau berkata remaja berkenaan dilihat mengenakan pakai seluar jeans dan sweater hitam.

“Laporan polis berhubung kehilangan remaja perempuan itu dibuat keesokannya pada 9.44 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja tersebut boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya 03-79662222.