KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menafikan penglibatan warga tempatan dalam kejadian samun sehingga menyebabkan kecederaan dan pergaduhan di kawasan Pasar Borong Selayang di sini, seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari (gambar) berkata pihaknya mengesan sebuah video berdurasi empat minit 55 saat hari ini, yang memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga Myanmar berkumpul di hadapan bangunan rumah kedai bersama mesej perkauman.

“Kita menafikan kejadian pergaduhan terbabit antara lelaki tempatan dengan lelaki warga Myanmar seperti yang tular dalam video terbabit.

“Semakan mendapati individu yang terlibat dalam pergaduhan itu ialah lelaki warga Myanmar dan video berkenaan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Sukarno berkata semakan mendapati pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Pasar Borong Kuala Lumpur berhampiran sebuah bank di Jinjang dekat sini kira-kira 9.24 malam Ahad lepas.

Susulan kejadian itu, Ahmad Sukarno berkata empat lelaki warga Myanmar cedera dan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

“Dua lelaki warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan dan motif kejadian disebabkan perselisihan faham antara suami isteri dan semakan mendapati warga asing yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata dua lelaki warga asing berumur 20 dan 21 tahun itu direman hingga Sabtu ini bagi siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. -Bernama