KANGAR: Polis Perlis mengambil inisiatif melancarkan kempen ‘Pikiaq Sat, Tak Yah Kalut, Tanya Kami Dulu’ hasil cetusan idea Ketua Polis negeri itu sendiri dalam usaha memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang penipuan dalam talian.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kempen itu dilaksanakan Februari lepas kerana penipuan dalam talian antara jenayah yang kerap berlaku di negeri berkenaan.

Beliau berkata selepas pelaksanaan kempen itu, secara anggarannya kes penipuan dalam talian menurun kepada kira-kira 20 kes bagi tempoh Februari dan Mac ini berbanding kira-kira 50 kes direkodkan pada Januari lepas.

“Buat permulaan, kami mengeluarkan 50,000 risalah untuk diedarkan kepada orang ramai di Perlis. Kempen menyasarkan seluruh masyarakat di Perlis yang mempunyai sebarang keraguan atau pertanyaan akibat dihubungi ‘scammer’ (penipu) ataupun ingin melakukan apa-apa urusan dalam talian yang diragui.

“Mereka boleh merujuk ke balai polis dan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan panduan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 peringkat Kontinjen Perlis di sini hari ini.

Muhammad berkata kempen itu bermatlamat menyelamatkan bakal mangsa dengan menyediakan platform nasihat yang dekat dengan masyarakat melalui pendekatan kembali kepada asas iaitu menjadikan balai polis sebagai pusat aduan.

“Dalam Ramadan ini, kita edar risalah kepada orang ramai dengan mencari kawasan tumpuan seperti bazar Ramadan. Saya berharap kempen ini dapat menangani kes penipuan dalam talian seperti Macau Scam, e-dagang, pelaburan palsu dan pinjaman tidak wujud sekali gus mengelakkan orang ramai mengalami kerugian ribuan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata kes jenayah seksual di negeri ini termasuk melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur mencatatkan peningkatan 30 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2023.

Beliau berkata untuk menangani isu itu, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Perlis dalam mengadakan kempen kesedaran jenayah seksual di sekolah selain melibatkan kerjasama Jabatan Mufti dari segi memasukkan teks berkaitan pencegahan jenayah seksual dalam pembacaan khutbah. -Bernama