ARAU: Polis akan memberi tumpuan kepada 11 lokasi 'hotspot' yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini dalam Op Selamat 22 sempena Hari Raya Aidilfitri yang bermula hari ini hingga 13 April.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata lokasi tumpuan itu antaranya di Kilometer (KM) 7 Jalan Kangar-Alor Setar, KM10 Jalan Kangar-Padang Besar, KM1 Jalan Kangar-Arau, Jalan Raja Syed Alwi dan Jalan Kuala Perlis-Jerlun.

“Operasi di Perlis ini melibatkan penugasan sebanyak 127 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK),“ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Op Selamat 22 peringkat negeri Perlis yang disempurnakan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli di sini hari ini.

Muhammad berkata menerusi Op Selamat itu, pihaknya turut memfokuskan kepada pencegahan jenayah di kawasan perumahan terutamanya rumah yang ditinggalkan penghuni kerana pulang ke kampung.

Dalam pada itu, beliau berkata statistik kemalangan jalan raya di Perlis sepanjang tempoh Op Selamat tahun lepas menunjukkan penurunan kepada 60 kes berbanding 84 kes pada 2022.

“Bagi kes kemalangan maut pula, penurunan daripada lima kes pada 2022 kepada dua kes pada 2023 iaitu 60 peratus. Ini menunjukan pelaksanaan Op Selamat dapat membantu dalam mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut,“ katanya.