ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai mencetuskan kekecohan dan menghalang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menjalankan tugas di kawasan Dataran Medan Bandar Alor Setar Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir (gambar) berkata peniaga berumur 33 dan 42 tahun itu ditahan petang semalam.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.38 malam Khamis lepas, pembantu penguat kuasa MBAS yang sedang bertugas membuat operasi sitaan peniaga di kawasan dataran berkenaan dihalang oleh dua individu yang mencetuskan kekecohan dan pergelutan sebelum dapat dileraikan.

“Kedua-dua individu itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam iaitu anggota MBAS yang sedang menjalankan tugas,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu tular di laman media sosial satu video yang berdurasi dua minit 23 saat yang memaparkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat provokasi terhadap beberapa anggota penguat kuasa MBAS di Dataran Medan Bandar Alor Setar.

Sementara itu pihak MBAS memaklumkan ketika kejadian anggota penguat kuasanya sedang mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan dataran berkenaan.

Menurut MBAS kawasan itu adalah kawasan larangan bagi mana-mana pihak menjalankan perniagaan dan papan tanda mengenai larangan itu telah diletakkan di situ.

“Kawasan Dataran Medan Bandar Alor Setar memang dilarang untuk sebarang perniagaan dan telah ada papan tanda yang memaklumkan mengenai perkara itu tetapi ada pihak yang masih berdegil,“ katanya dalam kenyataan.

MBAS mengeluarkan notis larangan berniaga di kawasan itu pada Julai 2020 membabitkan sebarang aktiviti seperti penjualan makanan dan minuman, alat permainan, kenderaan mikromobiliti dan 'car boot sale'. -Bernama