KANGAR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai merempuh seorang anggota polis sehingga cedera dalam kejadian di kawasan Stesen Kereta Api Bukit Keteri dekat Padang Besar pada 16 Okt tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah (gambar) berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam Op Cantas Khas di sebuah rumah tidak bernombor di Padang Besar pada 10.30 pagi semalam.

“Ketika tangkapan, suspek ini bertindak cuba melarikan diri dengan cara melompat dari tingkap. Akibat kejadian tersebut, suspek mengalami retak tulang di tumit kaki kanan. Suspek dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk diberi rawatan dan keadaan suspek stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata saringan urin terhadap lelaki yang mempunyai lapan rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara yang boleh sampai 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata dalam kejadian tahun lepas, suspek yang memandu pikap jenis Mitsubishi Pajero membawa pendatang tanpa izin merempuh motosikal ditunggang anggota polis berkenaan ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Anggota polis itu mengalami kecederaan pada tangan kiri dan suspek melarikan diri, namun 12 pendatang tanpa izin yang berada dalam pikap itu berjaya ditahan. -Bernama