KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan lelaki warga Kemboja yang ditemukan lemas tengah hari semalam ketika menjala ikan bersama dua rakannya di Sungai Mati, Tanjung Putus di sini, diserang buaya.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mayat lelaki berkenaan dijumpai dalam keadaan sempurna, namun mempunyai kesan kecederaan dipercayai akibat serangan buaya berikutan kawasan terbabit merupakan lokasi habitat haiwan berkenaan.

“Mayat mangsa telah kita hantar ke Jabatan Forensik (Hospital Tengku Ampuan Afzan) untuk bedah siasat. Kita akan maklum kepada keluarga dan pihak kedutaan.

“Ketika mayat dijumpai terdapat kesan (kecederaan) dan saya rasa (puncanya) lemas dan serangan (buaya). Kena tunggu forensik dan kawasan itu (memang) ada buaya,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya pemancing supaya berhati-hati memandangkan terdapat rekod serangan buaya di kawasan itu.

Semalam, media melaporkan mayat Sary Tolos, 26, ditemukan terdampar di tebing sungai itu pada 12 tengah hari kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Sary sebelum itu dilaporkan hilang semasa menjala ikan bersama rakannya pada 8 malam Sabtu apabila dia dan seorang daripada rakannya dilaporkan telah turun ke sungai untuk melepaskan jala mereka yang tersangkut.

Semasa di dalam air, rakannya yang menunggu di tepi sungai melihat Sary tenggelam secara tiba-tiba dan terus hilang dalam kocakan air.

Ditanya berkaitan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Rompin yang cedera didakwa dirotan guru dalam kejadian pada Jumaat kerana tidak solat tarawih, Yahaya berkata kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata mangsa seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan keputusan lanjut dan setakat ini, polis telah merakam tiga keterangan untuk proses siasatan.

“Kita masih menunggu keputusan dan hasil siasatan. (Setakat ini) Kami terima satu laporan sahaja,” katanya.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada 7.45 pagi Jumaat di kawasan perhimpunan bahagian bawah asrama kolej berkenaan dan mangsa mendakwa telah dirotan guru itu yang juga warden asrama bersama rakan-rakannya kerana tidak solat tarawih.

Dikatakan terdapat kesan kecederaan di belakang badan, punggung dan lengan kanan pelajar terbabit dipercayai dirotan. -Bernama