KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kini mempunyai keupayaan merawat penyakit kanser dengan lebih berkesan menerusi makmal terapi sel dan gen (CGT) dan terapi Chimeric Antigen Receptor-T Cell (CAR-T), di pusat perubatan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan PPUM, makmal bernilai RM6 juta dengan fasiliti termaju bagi rawatan kanser itu dibina hasil kerjasama PPUM dengan syarikat penyedia pelbagai imunoterapi berasaskan sel T untuk rawatan kanser, Auxi Therapeutics Sdn Bhd (Auxi Therapeutics).

Kenyataan itu memaklumkan terapi bagi rawatan kanser dan penyakit serius yang lain itu menunjukkan hasil yang memberangsangkan, melalui keupayaan mengenal pasti dan membunuh sel kanser dengan kejituan tinggi.

Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hasnan berkata penyediaan fasiliti rawatan penyakit itu, merupakan satu lagi kejayaan penting dalam perkembangan penjagaan kesihatan dan pengenalan rawatan inovatif.

“Menerusi makmal Auxi Therapeutics GMP CAR-T & CGT ini, kita terus mengorak langkah ke hadapan bersama harapan dan penemuan baharu, termasuk inovasi dalam bidang terapi serta menghasilkan kaedah rawatan yang lebih efektif untuk pesakit.

“Kesungguhan yang ditunjukkan Auxi Therapeutics dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan terapi sel dan genetik sejajar dengan misi PPUM, untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada para pesakit”, katanya dalam kenyataan PPUM itu.

Selain itu, makmal tersebut juga berupaya menyediakan terapi Dendritic Cell-Cytokine-Induced Killer Cell (DC-CIK) kepada pesakit.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Auxi Therapeutics Choo Yan Ho berkata terapi CAR-T dan CGT, merupakan kaedah rawatan perubatan disesuaikan dengan pesakit mengikut profil genetik dan sifat penyakit mereka.

Beliau berkata makmal itu berpotensi memberi impak positif lebih besar di rantau ini khususnya dan di peringkat global secara amnya.

“Terapi CAR-T dan CGT yang berkesan dan mudah diperoleh ini menyumbang kepada memperkasakan bidang penjagaan kesihatan serta meringankan beban penyakit kanser ke atas individu, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Fasiliti itu juga bakal menempatkan ruang khas penghasilan vektor virus yang diperlukan untuk pengubahsuaian genetik dalam rawatan terapi CART selain memenuhi piawaian ketat Malaysia dan antarabangsa termasuk Amalam Pengilangan Baik (GMP), Amalan Makmal Baik (GLP) dan Good Tissue Practice (GTP).