GERIK: DAP akan memberi sokongan penuh kepada siapa sahaja calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Nga Kor Ming (gambar).

Nga yang juga Pengerusi DAP Perak berkata beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana telah mengumumkan parti itu akan mendukung mana-mana calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK itu.

“Sama juga dengan pendirian DAP, kita akan beri sokongan dan dukungan penuh kepada mana-mana calon yang mendapat restu ataupun mewakili Kerajaan Perpaduan. Kami menghormati semangat perpaduan kerana seperti saya sentiasa tegaskan, perpaduan adalah kunci kejayaan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan media mengenai pendirian MIC dan MCA sebelum ini yang dikatakan memutuskan tidak mahu terbabit dalam kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya kerusi itu tidak ditandingi calon parti komponen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa MIC tidak akan memberi sokongan dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu, kerana tidak ditandingi calon BN.

Terdahulu hari ini Nga melakukan Lawatan Kerja “Program Sentuhan Kasih KPKT” di Pasar Awam Gerik, sebelum merasmikan Pintu Gerbang Kampung Baru Cina Batu Dua di sini.