PUTRAJAYA: Keputusan MCA untuk tidak ‘turun padang’ berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tidak akan mengganggu gerak kerja jentera Kerajaan Perpaduan dalam mendepani pilihan raya berkenaan.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil (gambar) berkata ini kerana fokus utama parti komponen Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah untuk mengetengahkan kewibawaan calon Kerajaan Perpaduan bagi pilihan raya tersebut iaitu Pang Sock Tao dalam usaha membangunkan kawasan berkenaan.

“Hubungan dalaman antara PH dan BN, itu adalah terasnya. BN juga berkata mereka akan membantu... Kami mempunyai calon yang bagus, beliau boleh berkomunikasi dengan baik serta berpengalaman luas (sebagai setiausaha akhbar) kerana bertugas di kementerian yang berbeza.

“Kami ingin memberi tumpuan kepada calon yang hebat ini, yang juga jurutera elektrik terlatih, tentang apa yang beliau boleh lakukan untuk membawa kemajuan ke Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis MADANI Muhibbah Aidilfitri 1445H/2024 anjuran Kementerian Komunikasi serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata demikian ketika mengulas keputusan MCA tidak berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu jika calon BN tidak bertanding.

Semalam, Pang yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diumumkan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

PRK itu diadakan ekoran kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP meninggal dunia pada 21 Mac lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian PRK itu pada 11 Mei depan manakala hari penamaan calon Sabtu ini.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, Lee berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 4,119 undi.