PENDANG: Program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan pada harga berpatutan di Agrobazar Rakyat Kubur Panjang, di sini hari ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai apabila sebanyak 1,190 beg beras habis dijual.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat Siam dilihat beratur panjang sejak 9 pagi bagi membeli beras seberat 10 kilogram pada harga RM26.

Seorang penduduk, Fauziah Yaakob, 54, dari Kampung Bukit Berangan, di sini berkata program itu sangat dinanti-nantikannya memandangkan bahan makanan itu dilihat sukar didapati di pasaran atau dijual pada harga yang mahal.

“Rasa legalah...sebab beras tempatan susah dapat sekarang ni, hanya ada beras import mencecah RM38 sekampit...mak cik susah hati sebab anak cucu ramai tinggal sekali.

“Kami lapan orang hari-hari makan nasi, kalau harga beras makin naik, makin susahlah sebab mak cik pun tak kerja dan bergantung duit pencen suami RM200 sebulan dengan anak-anak pun kerja kampung dengan pendapatan tak menentu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Bagi Atikah Sabri, 30, beliau bersyukur dengan langkah intervensi kerajaan yang cepat bertindak bagi membolehkan penduduk membeli beras pada harga murah agar orang ramai tidak terputus bekalan.

“Saya tak tau pun ada jualan beras murah ni, dengar orang cakap terus saya mari sini beli, syukurlah dapatlah bertahan seminggu dengan sekampit beras ini...cuma saya harap lepas ni kerajaan dapat jual lebihlah kepada keluarga yang memiliki keluarga besar,“ katanya

Ismail Awang, 60, dari Kampung Paya Mengkuang pula berkata dia datang seawal 8 pagi bagi mengelak beratur lebih lama bagi mendapatkan beras tempatan itu

“Kali terakhir saya beli beras RM38 sekampit memang terkejutlah...syukurlah hari ni dapat beli beras hanya RM26 saja, lega sikit kami rakyat biasa yang terpaksa menanggung kenaikan kos barangan keperluan lain,“ katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah Nor Rahila Mohd Yusof berkata program jualan beras tempatan itu dilakukan secara berperingkat dan setiap seorang dihadkan membeli sekampit bagi memastikan lebih ramai yang menerima manfaat itu.

“Di Kedah ni Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terlibat ialah PPK Kubur Panjang dan PPK Merbok, masing-masing mendapat 15 tan metrik...di Merbok jualan telah dibuat semalam dan hari ini di Kubur Panjang...Alhamdulillah semua berjalan lancar dan rata-rata lega dapat membeli beras pada harga RM26 berbanding RM35 hingga RM40 sebelum ini,“katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP Amir Mat Amin berkata sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan akan diedar ke seluruh Semenanjung pada hari ini sebagai langkah awal intervensi dalam menangani permintaan bahan makan ruji negara itu.

Program khas pengedaran dan penjualan beras putih itu dibuat melalui premis di bawah LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur. -Bernama