PUTRAJAYA: Individu yang layak mendapat bantuan kerajaan tetapi tidak mengemas kini data dalam Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga akhir bulan ini berisiko tercicir daripada pusingan pertama penentuan kelayakan bantuan selepas program subsidi bersasar dilaksanakan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (gambar) berkata individu yang tercicir perlu menunggu pusingan seterusnya apabila PADU dibuka kembali untuk kemas kini pada peringkat kekerapan berkala yang akan ditentukan oleh kerajaan.

Beliau berkata pengemaskinian PADU hingga 31 Mac ini ialah supaya data sedia ada digarap dan pembangunan algoritma boleh dilakukan untuk menentukan parameter kelayakan antaranya pendapatan boleh guna, perbelanjaan asas kehidupan wajar keluarga serta pendapatan boleh guna bersih.

“Kita mesti mengikut garis masa yang tepat untuk pelaksanaan program subsidi bersasar dan garis masa itu menetapkan data mesti tersedia menjelang 31 Mac 2024... sebab itu kita benarkan kemas kini sekali sahaja supaya data sedia ada itu digarapkan,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi berkata ketersediaan data itu akan digunakan sebagai rujukan untuk kerajaan membuat keputusan mengenai program subsidi bersasar.

Beliau berkata fasa seterusnya ialah membina API (Antara Muka Pemprograman Aplikasi) supaya lebih 300 pangkalan data kerajaan akan dihubung dan dikemas kini secara automatik di dalam PADU.

“Itu maksud kita ke arah mewujudkan satu pangkalan data kerajaan yang dikemas kini menghampiri masa nyata,“ katanya.

Sementara itu, Rafizi menyangkal dakwaan sebuah portal berita yang melaporkan bahawa orang ramai mencari kaunter fizikal untuk mendaftar di PADU kerana mereka mungkin kecewa dengan sistem dalam talian namun mendapati beberapa kaunter perkhidmatan pendaftaran ditutup.

Menjelaskan isu itu, beliau berkata pasukan PADU dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berada di lapangan sejak minggu pertama Januari lepas dan mendapati membuka kaunter di lokaliti adalah lebih efisien daripada orang ramai hadir ke pejabat kerajaan seperti Pusat Transformasi Bandar atau pejabat DOSM selain tenaga kerja yang terhad untuk membuka kaunter tetap.

“Sejak Januari hingga Februari, kita terima banyak permintaan daripada persatuan penduduk, wakil rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan supaya pasukan PADU dan DOSM buka kaunter di kawasan mereka. Oleh itu, adalah lebih baik kita bertemu mereka berbanding pegawai tunggu di kaunter atau pejabat-pejabat kerajaan.

“Contohnya di DOSM Selangor yang buka tujuh hari seminggu dari pagi sampai ke malam. Jadi adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa kaunter-kaunter ditutup seolah-olah pegawai tidak buat kerja, itu adalah tidak benar,“ katanya. -Bernama