JOHOR BAHRU: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mempengerusikan bersama Mesyuarat Koordinasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi merangka dan memperkemas strategi pelaksanaan zon ekonomi khas berkenaan.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Onn Hafiz Ghazi berkata beberapa perincian termasuk cadangan sektor bersesuaian dalam polisi JS-SEZ dan mengenal pasti lokasi utama bagi menarik peluang pelaburan turut dibincangkan.

“Saya yakin dengan pertimbangan dan kerjasama yang baik daripada semua pihak, pelaksanaan JS-SEZ pasti akan dapat dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus mampu membawa negara ke arah satu dimensi baru yang lebih berketerampilan serta maju.

“Semoga segala yang dibincangkan dalam mesyuarat ini mampu direalisasikan agar hasrat menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030 akan tercapai,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Pembentukan JS-SEZ di lokasi strategik antara Lapangan Terbang Changi dan Iskandar Puteri pada jarak 45 kilometer itu dijangka dapat mengukuhkan lagi kedudukan Medini sebagai destinasi pelaburan utama. -Bernama