KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan warga tempatan membuat laporan polis palsu kononnya kehilangan motosikal yang diletakkan di belakang sebuah kedai di Genting Permai, Genting Highlands, Bentong Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata ketika mengambil keterangan lelaki berumur 33 tahun itu pada Khamis, pihaknya mendapati terdapat keraguan dalam keterangan suspek.

“Selepas itu, pihak polis telah melakukan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan premis berkenaan dan mendapati tiada kejadian kehilangan motosikal berlaku.

“Suspek didapati mereka-reka cerita kerana motosikalnya telah rosak dan mempunyai tunggakan bayaran bulanan serta tujuan laporan polis dibuat adalah untuk membuat tuntutan kepada syarikat insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Zaiham berkata pihaknya telah membuat laporan polis terhadap lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. -Bernama