KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng (gambar) memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa, nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu timbul selepas lebih setahun siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja pada 2019.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, mengakui perkara itu, semasa dirujuk peguam RSN Rayer mewakili Lim kepada pernyataan beliau (Zarul Ahmad) yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi kes membabitkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2018.

Zarul Ahmad bersetuju dengan peguam itu bahawa beliau tidak menyebut nama Lim dalam keterangannya kepada SPRM pada 19 dan 20 Jan, 9 Mac serta 5 Sept 2018, namun nama Pengerusi DAP itu timbul semasa beliau memberi keterangan kepada agensi tersebut pada 9 Dis 2019.

Rayer: Satu-satunya penjelasan Datuk Zarul berikan (sebab sebut nama Lim Guan Eng) semasa memberi kenyataan kepada SPRM kerana keterangan (bekas pengarah CZCSB) Ibrahim (Sahari)?

Zarul Ahmad: Ya.

Semasa dirujuk Zarul Ahmad mengenai kenyataannya kepada SPRM pada 2018, saksi pendakwaan ke-23 itu bersetuju bahawa semasa memberi keterangan pada 19 dan 20 Jan, 9 Mac serta 5 Sept 2018, beliau (Zarul Ahmad) menyatakan bahawa beliau menyerahkan wang RM19 juta kepada Gnanaraja untuk diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi itu juga bersetuju dengan Rayer bahawa sepanjang siasatan, pihak SPRM tidak memintanya mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pengisytiharan harta dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Selain itu, Zarul Ahmad berkata beliau berasa tertekan dan penat kerana berada dalam tahanan reman SPRM selama 11 hari berhubung siasatan kes terowong di Pulau Pinang, sebelum dipanggil memberi keterangan kepada SPRM untuk kes Gnanaraja.

“Selepas memberi keterangan pada 5 Sept 2018, saya tidak keluar rumah lebih kurang dua bulan. Saya ada anxiety dan saya berasa amat tertekan ketika itu,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mahadi Abdul Jumaat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 1 April.

Pada 2 Nov tahun lepas, Azura membenarkan permohonan Lim untuk memulakan prosiding mencabar kredibilti Zarul Ahmad, setelah mendapati wujud percanggahan dalam kenyataan saksi itu kepada SPRM dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. -Bernama