GUA MUSANG: Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan oleh pekebun dan penternak kecuali rasa syukur apabila keluhan mereka selama ini mendapat perhatian kerajaan susulan peruntukan RM10 juta sebagai pampasan terhadap kemusnahan akibat serangan haiwan liar.

Peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Meranto di sini, Kamarudin Yaakub, 65, berkata dia gembira dengan berita baik itu kerana kesedihan akibat kemusnahan tanaman seperti pokok pisang, nanas dan sebagainya terubat dengan bantuan yang dihulurkan kerajaan.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan yang cakna dengan rintihan serta kesempitan hidup kami.

“Pampasan ini dapat menyuntik semula semangat kami yang terkesan kerana pendapatan terjejas selepas hasil tanaman dimusnahkan haiwan liar seperti gajah,“ katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Penternak dari RKT Kesedar Renok Baru di sini, Saadon Setaffa, 62, pula berharap pampasan yang diberikan itu nanti dapat diagihkan kepada semua golongan yang terkesan dengan adil tanpa dikenakan sebarang syarat.

Menurutnya sejak tahun lepas lebih 20 ekor kambing dan lembu ternakannya menjadi mangsa serangan harimau dengan kerugian dianggarkan lebih RM30,000.

“Kami berasa lega dan gembira apabila aduan kami kepada pihak bertanggungjawab membuahkan hasil dan tindakan sewajarnya diambil. Saya harap proses permohonan pampasan juga bersifat mesra rakyat,“ katanya.

Rabu lepas Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim menerusi hantaran di Facebook miliknya memaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam meluluskan peruntukan RM10 juta sebagai pampasan kepada individu termasuk pekebun dan penternak yang menanggung kerugian fizikal dan harta benda akibat serangan haiwan liar.

Beliau berkata tuntutan pampasan kehilangan atau kerosakan harta benda serta tanaman itu boleh dibuat dengan merujuk kepada pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan boleh berjumpa dengannya sendiri untuk keterangan lanjut. -Bernama