SIK: Daerah Sik disasar menjadi hab tanaman padi huma di negeri ini sebagai langkah alternatif menambah bekalan beras putih tempatan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah melaksanakan inisiatif menanam padi huma dengan memberi tumpuan kepada kawasan tanah terbiar di daerah itu.

“Padi huma atau padi bukit ini rasanya enak, harganya mahal sedikit... kita harap daerah Sik akan jadi hab padi huma untuk negeri Kedah bagi mempertingkatkan hasil padi dari negeri Jelapang Padi.

“Selain padi di kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan luar kawasan MADA, kita juga mengusahakan padi atas darat (padi huma),” katanya selepas merasmikan Benih Padi Huma di Kampung Radik dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Zakaria Othman dan Mufti Kedah Datuk Fadzil Awang.

Menurut Muhammad Sanusi padi huma mempunyai pasaran dan permintaan tinggi.

Beliau berkata penanaman padi huma di Lembah Radik dibuat secara tradisional dan kawasan lereng bukit juga sesuai dijadikan kawasan penanaman.

“Kita mempelawa penduduk Sik yang ada tanah terbiar... mungkin di celah-celah dusun durian yang baru ditanam, juga boleh diusahakan tanaman padi huma... benih boleh berhubung dengan LZNK,” katanya.

Difahamkan, projek permulaan oleh LZNK itu membabitkan kawasan seluas setengah hektar dan akan diperluas kepada enam hektar bermula Jun ini.