KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan kutipan derma secara dalam talian apabila menahan 55 orang dalam serbuan di sebuah premis di Kepong di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua rakyat tempatan yang ditahan itu terdiri daripada 34 lelaki dan 21 wanita berusia lingkungan 18 hingga 42 tahun.

Beliau berkata sindiket yang aktif sejak lima tahun lepas itu berselindung di sebalik nama tiga persatuan kebajikan ketika membuat panggilan kepada mangsa untuk mengutip derma selain mengiklankan derma kebajikan melalui laman sosial Facebook untuk meraih simpati penderma.

“Wang yang didermakan mangsa terdiri daripada individu atau syarikat pula akan dimasukkan ke dalam tujuh akaun syarikat dipercayai milik persatuan itu. Jumlah wang yang telah didermakan mangsa masih dalam siasatan polis.

“Polis ketika ini sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga persatuan ini mengetahui penglibatan mereka dalam sindiket ini atau tidak. Justeru, polis juga akan memanggil (wakil) ketiga-tiga persatuan ini untuk membantu siasatan,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas 58 unit komputer riba, 126 telefon bimbit, 108 buku resit, dua modem router serta dua skrip rakaman perbualan antara pemanggil dengan mangsa, dan siasatan awal mendapati ahli sindiket menerima 10 hingga 20 peratus komisen daripada kutipan derma jika mencapai sasaran yang ditetapkan.

Allaudeen berkata 50 orang daripada yang ditahan itu direman hingga esok, manakala lima lagi direman hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, polis kini giat mengesan seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Liew Chin Kang, 42, dari Batu Caves, Selangor yang dipercayai dalang kepada sindiket aktif mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Allaudeen berkata tindakan itu susulan penahanan empat lelaki terdiri daripada seorang pemilik bengkel dan tiga warga Myanmar berusia lingkungan 20-an hingga 40-an menerusi Op Lejang di sebuah bengkel di Klang, Selangor pada 18 Sept lepas.

“Dalam serbuan itu, polis merampas empat rangka kenderaan dan 15 bongkah enjin daripada pelbagai jenis model kenderaan. Nilai keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM83,000,“ katanya.

Beliau berkata Liew yang mempunyai rekod jenayah berkaitan curi kenderaan dikehendaki bagi membantu siasatan polis melibatkan lima kes di Sentul, dua di Wangsa Maju, tiga di Cheras, satu di Brickfields dan empat lagi di Serdang. -Bernama