PUTRAJAYA: Empat lagi individu termasuk seorang penjawat awam disyaki menjadi perantara untuk memberi rasuah sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara, direman tiga hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber keempat-empat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an itu, ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kesemua lelaki berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

“Kesemua suspek ini dipercayai telah menjadi perantara sindiket terbabit untuk membayar wang rasuah kepada penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa, bagi memudahkan urusan penyeludupan.

“Wang rasuah daripada sindiket ini dimasukkan ke dalam akaun mereka dan kemudian dipindahkan ke akaun beberapa penjawat awam yang terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata individu berkenaan adalah antara lapan individu yang ditahan pada Isnin, bagi membantu siasatan susulan operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Pada Isnin, SPRM menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam berusia 40-an hingga 50-an di sekitar Lembah Klang, kerana disyaki terbabit rasuah sindiket penyeludupan tembakau, rokok, dan arak melalui pintu sempadan negara.

Semalam empat daripada lelaki berkenaan telah direman bagi membantu siasatan membabitkan kes sama.

Turut dilaporkan SPRM masih lagi mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket sama. -Bernama