BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah menyatakan minatnya untuk bersama-sama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Dalam hantaran terkininya di platform X pada Jumaat, Srettha menzahirkan penghargaan terhadap kenyataan Anwar pada Khamis malam di Putrajaya mengenai hubungan semasa yang baik antara Malaysia dan Thailand.

Semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI dengan duta, perwakilan asing dan pertubuhan antarabangsa di Putrajaya pada Khamis, Anwar berkata beliau mahu bekerjasama dengan rakan sejawatnya, Srettha uhtuk mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan dan sektor lain.

“Anwar bercakap mengenai hubungan baik antara Thailand dan Malaysia semalam. Saya mengucapkan terima kasih dan gembira untuk menyertai Anwar dalam mengukuhkan kerjasama ini,” kata Srettha dalam hantarannya di laman X.

Srettha berkata kerjasama antara Thailand dan Malaysia meliputi pelbagai aspek termasuk pembangunan ekonomi, pembangunan, perdagangan, pelaburan dan pelancongan. Beliau juga berkata terdapat usaha berterusan untuk mendapatkan hasil ketara di dalam aspek keterjaminan makanan dan tenaga.

Beliau juga berkata kerjasama Thai-Malaysia juga menyasarkan untuk membangunkan Wilayah Selatan Thailand dan utara Malaysia menjadi sebuah kawasan yang aman dan stabil untuk menggalakkan aktiviti ekonomi.

Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada 2023 dengan jumlah keseluruhan dagangan mencecah RM113.16 bilion (US$24.83 bilion).

Malaysia pula merupakan rakan dagang keempat terbesar Thailand di peringkat global dan rakan dagang terbesar Thailand di ASEAN.

Kedua-dua negara menyasarkan untuk meningkatkan nilai dagangan mereka kepada US$30 bilion menjelang 2025, dengan menumpukan perdagangan transit dan sempadan untuk mencapainya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image