PUTRAJAYA: Sepasang suami insteri terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan tuduhan membunuh dengan penjara 30 tahun kerana homisid salah tak terjumlah membunuh anak lelaki mereka berusia lapan tahun, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail mengarahkan hukuman pemenjaraan tersebut terhadap Aaron Teoh Eng Wan, 40, dan isterinya En Sit Mooi, 43, bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mei 2017.

Dua hakim lain dalam panel tersebut ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M.Komathy Suppiah.

Hakim Hadhariah, dalam menyampaikan keputusan, berkata mahkamah mengenepikan sabitan membunuh dan hukuman mati pasangan itu dan mensabitkan mereka atas pertuduhan homisid salah tak terjumlah membunuh.

Katanya Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin terkhilaf apabila tidak membezakan perbezaan anatara Seksyen 299 dan Seksyen 300 Kanun Keseksaan yang mewajarkan intervensi mahkamah rayuan.

Pasangan suami isteri itu disabitkan kesalahan membunuh Adrian Teoh Wai Kit, anak sulung daripada dua beradik itu, di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara jam 2 petang hingga 3,30 petang pada 26 Mei 2017.

Peguam S. Jayananda Rao dan Saladin Mohd Yasin, masing-masing mewakili Eng Wan dan En berhujah bahawa pasangan itu tidak sepatutnya disabitkan atas kesalahan membunuh tetapi atas pertuduhan yang lebih ringan iaitu homisid salah tak terjumlah membunuh

Pada 21 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap pasangan itu selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki mereka.

Mahkamah Tinggi turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Eng Wan atas satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Eng Wan bagaimanapun menarik balik rayuannya hari ini terhadap keputusan ini kerana dia telah pun menjalani hukuman itu.

Pendakwaan diwakili Timbalan pendakwa Raya, Zulkifli Abdullah. -Bernama