KLANG: Satu pasangan suami isteri yang disyaki membekalkan senjata api kepada warga Israel bulan lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan.

Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Sharifah Faraha didakwa memiliki sepucuk pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER di sebuah rumah di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada pukul 8 malam, 29 Mac lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Abdul Azim pula didakwa ada bersama Sharifah Faraha, dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia tahu isterinya itu memiliki senjata api berkenaan pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman serupa, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan di bawah Akta Senjata Api penalti lebih berat merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan kes.

Pada 29 Mac lepas, pasangan suami isteri itu ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor atas kesalahan memiliki senjata api.

Mereka disyaki membekalkan enam pucuk pistol kepada seorang lelaki warga Israel yang ditahan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dua hari sebelum itu.