SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Masjid Setia Alam di Seksyen U13 di sini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Ketibaan baginda berdua pada 6.20 petang disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim.

Hadir sama Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 468 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir dan miskin serta mualaf dari daerah Petaling berjumlah RM500 setiap seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM234,000.

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan menerima zakat perniagaan bagi 2023 daripada Lembaga Tabung Haji berjumlah RM28.42 juta, Tenaga Nasional Berhad (RM5.76 juta), CIMB Islamic Bank (RM1.5 juta), UMW Corporation Sdn Bhd (RM1.05 juta), KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM1.03 juta) dan KMF Network (RM1 juta).

Baginda juga berkenan melafazkan titah perasmian Masjid Setia Alam sebelum menandatangani plak perasmian untuk menyempurnakan acara berkenaan.

Masjid Setia Alam yang mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah dalam satu-satu masa siap dibina pada 10 Feb 2022 di atas tapak berkeluasan 2.02 hektar (lima ekar) dengan RM14 juta kos pembinaan dibiayai kerajaan Selangor manakala RM3.7 juta hasil dana wakaf.