GEORGE TOWN: Orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth dan sebaliknya, akan menikmati tambang feri percuma tanpa had mulai 8 April ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata inisiatif oleh SPPP dengan kerjasama Penang Port Sdn. Bhd (PPSB) itu sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan tersebut yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan berkernaan.

“Dengan mengambil kira sifat kebersamaan dan tidak mengenepikan golongan tertentu, bermula 8 April ini OKU akan menikmati tambang feri percuma bagi semua kategori iaitu pejalan kaki, basikal dan motosikal.

“SPPP dan PPSB telah memperhalusi mekanisme pelaksanaan tambang percuma ini iaitu individu OKU hanya perlu mendaftar di mana-mana kaunter terminal feri sama ada di PSAH atau PRTU,” katanya pada sidang media di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PPSB V. Sasedharan.

Yeoh berkata individu OKU tersebut perlu membawa bersama kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika melakukan urusan pendaftaran.

Beliau berharap pemberian itu akan dapat meringankan beban kos pengangkutan yang ditanggung golongan tersebut dan terus menjadikan mod pengangkutan itu sebagai pilihan selain menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemberian pas bermusim yang tamat pada 31 Dis lepas diteruskan pada tahun ini dengan kadar diskaun 30 peratus bagi semua kategori penumpang feri.

Sementara itu, Sasedharan berkata keistimewaan tersebut hanya diberikan kepada rakyat Malaysia dan pendaftaran boleh dibuat bila-bila masa.

Menurutnya kadar tambang normal bagi perkhidmatan feri ialah RM2 bagi pejalan kaki dan penunggang basikal dan RM2.50 bagi pengguna motosikal, manakala golongan OKU kategori pejalan kaki sebelum ini hanya perlu membayar RM1. -Bernama