KUALA LUMPUR: Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) merekodkan 12.8 juta transaksi atau panggilan perkhidmatan sejak ia mula beroperasi mulai 12 Nov 2012 sehingga 31 Dis 2023.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (gambar) berkata sepanjang tahun lepas sahaja transaksi yang direkodkan MyGCC adalah sebanyak 970,595 iaitu bersamaan 2,659 transaksi setiap hari.

“Setiap hari secara purata, MyGCC masih menerima lebih daripada 2,600 panggilan ataupun transaksi. Jadi memang kami akan terus mengkaji bagaimana kita boleh meningkatkan lagi keberkesanan MyGCC. Kami akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 untuk Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

MyGCC sebelum ini berada di bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebelum kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Digital Datuk Ugak Kumbong ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang sama bagi Kementerian Digital berkata kes insiden ‘phishing’ atau aktiviti pancingan data berkaitan sistem pembayaran menunjukkan trend penurunan sejak 2019 hingga tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan statistik terkini, sebanyak 7,255 insiden ‘phishing’ telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 2019 manakala tahun berikutnya dilaporkan sebanyak 6,422 kes.

“Bagi tahun 2021 adalah sebanyak 6,257 insiden, tahun 2022 (4,385) dan tahun 2023 (3,168) yang dilaporkan kepada CSM,“ katanya.

Ugak berkata Kementerian Digital melalui CSM sentiasa merangka strategi dan mengambil langkah berterusan bagi menangani serangan digital yang semakin berleluasa selain bekerjasama dengan badan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam menangani insiden ‘phishing’ di negara ini. -Bernama