GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu kajian kebolehlaksanaan dan pengesyoran daripada Jawatankuasa Pemandu Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang sebelum membuat sebarang keputusan mengenai projek berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar) berkata jawatankuasa itu terlebih dahulu akan meneliti pembentangan oleh pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berkaitaan Pelan Induk Pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) yang turut memberi kesan kepada projek terbabit.

“Sememangnya baru-baru ini SPPP telah membuat pembentangan kepada Exco Kerajaan Negeri tentang pelan induk mereka yang melibatkan pembesaran kemudahan-kemudahan pelabuhan yang mungkin turut membabitkan bahagian projek terowong berkenaan.

“Hal ini memerlukan satu keputusan dan kita masih menunggu perbincangan lanjut. Apakah terowong akan diteruskan, dipinda jajaran atau reka bentuk? Saya percaya jawatankuasa pemandu akan meneliti dan membuat syor-syor untuk pertimbangan dan keputusan kerajaan negeri,“ katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Komtar hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa pemandu berkenaan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari.

Projek terowong sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama iaitu Tanjung Bungah – Teluk Bahang (pakej pertama), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu – Bandar Baru Farlim, Air Itam (pakej dua) dan Jalan Pangkor – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (pakej ketiga) merupakan antara projek yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.

Sementara itu, Chow memaklumkan Penang Hill Festival (PHF) 2024 kali kelima akan berlangsung pada 19 hingga 21 Julai 2024 dengan pelbagai program menarik termasuk pertandingan menulis lagu Bukit Bendera yang menawarkan hadiah berupa wang tunai RM3,000 kepada juara, RM1,500 (naib juara) dan RM800 (tempat ketiga).

Selain itu, beliau berkata program lain seperti pencarian harta karun digital, bengkel fotografi, persembahan Music on the Hill - East meet West, pameran, Jelajah Penemuan Warisan dan Alam Semula Jadi iaitu Junior Rainforest Exploration dan Night Exploration serta siri ceramah turut disediakan sepanjang festival itu.

Chow juga mempelawa individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan bagi festival yang menyatukan perniagaan, komuniti bukit, ahli kademik, artis dan peminat alam semula jadi dalam meraikan keindahan pelbagai budaya di Bukit Bendera.