ALOR SETAR: Tiga cedera termasuk seorang wanita selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tali air di Kampung Gunung Sali di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.45 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang terjunam ke dalam tali air dan terdapat tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 20-an.

“Semua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di situ dan anggota bomba telah memberi bantuan asas hayat (CPR) kepada seorang daripada mangsa lelaki yang kritikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Naufal berkata dua lagi mangsa hanya cedera ringan dan kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan lanjut.