JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melonggokkan sisa pepejal pembinaan secara haram tahun lepas.

Tan Hock Lai, 45, dan Chia Vui Chan, 30, mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim sementara Wong Wai Heng, 47, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Che Wan Zaidi menjatuhkan hukuman denda RM30,000 ke atas Tan atau penjara enam bulan manakala Chia didenda RM15,000 atau tiga bulan penjara.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tan, seorang pemandu lori, dituduh melakukan perbuatan itu di tanah lot 2030, Mukim Rimba Terjun, Parit Masjid Pontian, Pontian pada kira-kira 2.30 petang, 20 Jun 2023.

Sementara Chia yang merupakan pemilik bersama sebuah syarikat dan pemandu lori, dituduh melakukan perbuatan itu di tanah lot 5877, GM 6012 Mukim Rimba Terjun, Parit Masjid Pontian pada 1.25 tengah hari, 15 Ogos 2023.

Wong yang juga pemandu lori, dituduh melakukan perbuatan itu di atas Tanah Kerajaan (Rizab Jalan) Mukim Jeram Batu, Pontian pada lebih kurang 11.00 pagi, 4 Julai 2023.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Undang-Undang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi Wong.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad dalam kenyataan berkata sejak 2018 hingga 26 Mac tahun ini, 56 kes melibatkan 44 individu dan 12 syarikat berjaya didakwa di mahkamah dengan jumlah denda hampir RM1 juta.

Beliau berkata hasil operasi penguatkuasaan berterusan, enam lagi kes membabitkan pembuangan sampah secara haram di negeri ini, kini dalam proses pendakwaan. -Bernama