KUALA LUMPUR: Lima anggota polis antara tujuh lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun terhadap seorang warga asing di KL Trillion Resident di Jalan Tun Razak pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua suspek ditahan pada Ahad susulan laporan polis yang dibuat mangsa, seorang lelaki bersama rakan wanitanya yang juga warga asing mengenai kehilangan barang kemas dan sejumlah wang tunai di dalam rumahnya, dengan nilai kerugian kira-kira RM260,000.

Beliau berkata selain anggota polis tersebut, dua lagi suspek yang ditahan merupakan bekas anggota polis dan seorang orang awam yang dipercayai turut menyamar sebagai anggota polis ketika kejadian.

“Pada 11.50 malam, Ahad lepas polis telah menahan tiga lelaki dan hasil daripada tangkapan itu telah membawa pihak polis kepada penahanan empat lagi lelaki yang disyaki terlibat. Kesemua suspek berusia 28 hingga 41 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata lima daripada suspek tersebut direman bermula 8 hingga 11 April, manakala dua lagi direman bermula 9 hingga 12 April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.