JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (gambar) berkenan membincangkan pelbagai isu melibatkan dua pintu masuk laluan darat antara Malaysia dan Singapura di sini hari ini.

Menurut hantaran menerusi Facebook Tunku Mahkota Ismail, perbincangan itu melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta delegasi Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.

“Dalam pertemuan ini, pelbagai isu terkini telah disampaikan dan dibincangkan, khususnya mengenai urusan operasi imigresen, pemprosesan trafik harian, purata masa menunggu untuk pemeriksaan imigresen serta penambahbaikan yang perlu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),” menurut hantaran itu. -Bernama