KUALA LUMPUR: Video yang memaparkan seorang lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam, Sultan Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dipercayai dilakukan di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ini kerana lelaki berkenaan dikenali sebagai N. Ganesparan telah meninggalkan negara sejak 2018 dan kini dipeprcayai berada di sebuah negara di Eropah.

Beliau berkata ini bukan kali pertama tindakan individu itu melibatkan isu sensitif seperti institusi beraja, agama dan politik.

“Dari 2018 hingga semalam 22 kes telah dibuka. Siasatan pada 2018 mendapati N. Ganesparan telah keluar negara dan sehingga kini belum dikesan kembali ke dalam negara.

“Pada 2021 pihak polis telah buat pertuduhan tanpa kehadiran N. Ganesparan kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Siasatan akan diperkemaskan dan sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

“PDRM meminta Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) meletakkan Ganesparan di bawah senarai notis merah, dan kita juga sudah buat permohonan kepada Jabatan Imigresen, dan passportnya dibatalkan pada November 2020,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Video yang dimuat naik Ganesparan ke media sosial pada 23 Mac itu antara lain mendakwa PDRM pantas mengambil tindakan terhadap rakyat berbangsa Cina yang menghina Islam, namun tindakan sama tidak diambil terhadap beberapa individu lain yang didakwanya menghina agama bukan Islam.

Sementara itu di SHAH ALAM, hari ini satu laporan polis terhadap Ganesparan kerana menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, agama Islam dan PDRM di media sosial baru-baru ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berkata laporan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas atas tindakannya mempersenda agama Islam dan menghina Sultan Selangor.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang bermesyuarat hari ini bersetuju laporan polis dibuat terhadap individu berkenaan bagi memastikan kedaulatan institusi diraja dan agama Islam sentiasa terbela dari anasir jahat pihak tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan yang dibuat oleh Ganesparan jelas menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja-Raja dan mufti-mufti dengan menggunakan perkataan kesat.

“Kenyataan itu boleh menyebabkan kegusaran awam dan membangkitkan sensitiviti agama yang boleh menyebabkan pergolakan serta perpecahan kaum dan bangsa,“ katanya.

Borhan berkata meskipun Ganesparan kini dipercayai berada di luar negara, pihaknya tetap membuat laporan bagi membolehkan siasatan dibuat dan mengheret individu tersebut ke muka pengadilan.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata 21 kertas siasatan dibuka terhadap Ganesparan berikutan kenyataan berkenaan dan siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai berada di Hamburg, Jerman, selepas kali terakhir keluar negara pada 2 November 2017. -Bernama