KUALA LUMPUR: MIC akan mengadakan pemilihan parti itu bagi penggal 2024-2027 bermula 27 April hingga 7 Julai ini, kata Presidennya Tan Sri S A Vigneswaran.

Beliau berkata proses itu akan bermula dengan proses penamaan calon bagi ketua-ketua Pemuda MIC, Wanita MIC, Putera MIC dan Puteri MIC peringkat bahagian pada 27 April ini, diikuti pemilihan pada 4 dan 5 Mei.

“Penamaan calon bagi Putera MIC dan Puteri MIC peringkat pusat pula akan diadakan pada 8 Jun diikuti pemilihan pada 15 Jun.

“Sementara itu bagi penamaan calon ketua bahagian pula akan diadakan pada 10, 11 dan 12 Mei, diiikuti pemilihan pada 17, 18 dan 19 Mei,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Beliau berkata untuk penamaan calon bagi jawatankuasa tertinggi parti peringkat pusat dan negeri pula, ia akan diadakan serentak pada 22 Jun ini, diikuti pemilihan pada 6 dan 7 Julai dengan semua pemilihan itu dilakukan dalam tempoh empat jam.

Vigneswaran turut memberikan jaminan pemilihan Jawatankuasa Parti bagi penggal ini akan diadakan secara lebih tersusun bagi mengelak sebarang kesulitan.

Pada masa yang sama beliau turut menyuarakan hasratnya untuk mengekalkan Datuk Seri M Saravanan sebagai Timbalan Presiden parti itu selagi beliau masih berkhimat untuk MIC.

Terdahulu pada 26 Mac lepas, Vigneswaran mempertahankan jawatannya selaku Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu bagi penggal 2024-2027 tanpa bertanding buat kali ketiga berturut-turut pada pemilihan parti.

Sementara itu mengulas tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu beliau berkata MIC akan menyokong mana-mana calon daripada Kerajaan Perpaduan yang akan bertanding dalam PRK itu.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei depan susulan kematian penyandang kerusi itu Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon diadakan pada 27 April manakala hari mengundi awal 7 Mei.