KUALA LUMPUR: Tan Sri S A Vigneswaran (gambar) mempertahankan jawatannya sebagai Presiden MIC buat kali ketiga berturut-turut selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding untuk penggal 2024-2027 pada pemilihan bagi jawatan tertinggi parti.

Timbalan Presiden MIC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden parti itu Datuk Seri M Saravanan mengumumkan perkara itu selepas Vigneswaran muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada pukul 1 tengah hari tadi.

Vigneswaran menerima sokongan daripada 3014 daripada 3060 cawangan MIC di seluruh negara.

Pada pemilihan lepas, Vigneswaran turut memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

“Saya berterima kasih kepada seluruh warga MIC dan ketua-ketua cawangan kerana memberi sokongan kepada saya untuk memimpin parti buat kali ketiga” katanya selepas proses pencalonan itu di ibu pejabat MIC di sini.

Mengenai fokus utama MIC selepas ini pula beliau berkata parti itu akan menumpukan perhatian kepada pembinaan ibu pejabat baharunya yang kini merangkumi tiga blok.

“Bangunan baharu itu akan merangkumi tiga blok biarpun sebelum ini kami memang merancang untuk membangunkan dua blok sahaja, dan ia mengambil masa empat hingga lima tahun untuk disiapkan.

“Satu blok akan dikhaskan untuk ibu pejabat MIC, satu untuk Institusi Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), dan satu lagi untuk pangsapuri dan hotel,“ katanya kepada pemberita selepas sesi pencalonan hari ini.

Selain itu katanya kepimpinan MIC penggal ini juga akan melatih dan memberi peluang kepada golongan muda untuk memegang tampuk pemerintahan masa akan datang.

Vigneswaran berkata MIC juga akan mempereratkan kerjasama bersama Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) yang telah terjalin setahun lalu dalam memperjuangkan hak serta hala tuju masa depan masyarakat India di negara ini. -Bernama