KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan mengedar dadah methamphetamine seberat 471.1 gram dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membebaskan peniaga dalam talian Lealonii Mohd Shamsudin, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,“ kata Hakim Azhar.

Lealonii didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 471.1 gram di sebuah kondominium di Jalan Wangsa Perdana 1, Wangsa Maju di sini pada 9.25 malam, 7 April 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Seramai lapan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan Isnin (11 Mac) lepas sebelum pihak pendakwaan menutup kes semalam. -Bernama