PETALING JAYA: Seorang wanita didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dalam urusan sewa bilik dan rumah yang tidak wujud.

Majistret Farah Azura Mohd Saad turut memerintahkan Afiqah Illyana Mior, 26, pekerja pemasaran dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Afiqah didakwa menipu Wan Alya Shazwina Wan Mohd Zaki, 25, supaya menyerahkan wang tunai RM1,835 bagi urusan sewa rumah yang tidak wujud di sebuah residensi, Petaling antara 23 hingga 30 Dis tahun lepas.

Dia juga dituduh menipu Siti Mariana Mujad, 25, supaya menyerahkan wang RM2,585 untuk urusan sewa bilik yang tidak wujud di residensi sama pada 17 Dis 2023 hingga 7 Jan lepas.

Kedua-dua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran, namun Afiqah yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum kerana dia baru sahaja bekerja.