ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Permatang Kerat Telunjuk dekat Bandar Baharu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu DSP Azmi Mokhtar dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua mangsa yang berusia 85 dan 55 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat penumpang lain mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kira-kira 8 malam itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Alphard yang dipandu lelaki itu sedang dalam perjalanan dari arah Serdang ke Bandar Baharu sebelum memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dipandu lelaki berusia 43 tahun.

Menurutnya mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat, manakala penumpang yang cedera dihantar ke hospital sama dan diberikan rawatan pesakit luar.

Azmi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu di talian 04-4077222 atau pegawai penyiasat di talian 012-2461813 bagi membantu siasatan,” katanya.