PUTRAJAYA: Kerajaan amat menghargai peranan dan sumbangan pengamal media dalam membantu pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata peranan serta sumbangan golongan itu turut memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Saya amat hargai peranan wartawan sama ada media konvensional, media perdana mahupun media sosial,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyumbang tajaan bernilai RM50,000 untuk penganjuran HAWANA 2023 bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 Mei ini di Ipoh, Perak.

Replika cek sumbangan itu disampaikan Ahmad Zahid kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, disaksikan Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama D. Arul Rajoo.

Ahmad Zahid berharap tajaan tersebut dapat dimanfaatkan bagi melancarkan penganjuran HAWANA 2023 sebagai menghargai jasa pengamal media yang sentiasa komited menjalankan tugas demi menyalurkan informasi kepada masyarakat.

Sementara itu, Roslan berkata sebagai agensi pelaksana HAWANA 2023, Bernama amat menghargai setiap tajaan yang diterima daripada pelbagai agensi dan mengalu-alukan lebih banyak pihak tampil menyumbang bagi menjayakan HAWANA 2023.

“Setakat hari ini kita telah terima tajaan daripada 20 penaja dalam bentuk kewangan dan barangan. Tajaan ini amat bermakna kerana sebahagian daripadanya akan disalurkan dalam Tabung Kasih@HAWANA untuk bantu wartawan dan bekas wartawan yang memerlukan,” katanya.

Roslan berkata persiapan acara tahunan yang memasuki edisi ketiga itu pada tahap yang memuaskan dan berjalan lancar seperti dirancang.

Menurutnya kira-kira 1,000 pengamal media telah mengesahkan kehadiran mereka ke HAWANA 2023.

“Saya rasa sambutan kali ini meriah. Ia berbeza daripada edisi sebelum ini kerana melibatkan pengamal media dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya. -Bernama